Rabu, 2 Mei 2012

Nafsu, akal dan gagal boleh bawa kita dekat dengan Tuhan.

Dari sehari ke sehari, akan ada bermacam-macam hal yang berlaku. Ada yang membuatkan kita berfikir berkenaan apakah rasionalnya perkara itu terjadi dan apakah tindakan kita untuk menghadapinya? Malah ada yang lebih bijak akan berfikir begini, bagaimana semua itu boleh berlaku dan apa entiti luar yang mencetuskan perkara tersebut berlaku?

Ada juga perkara yang terjadi benar-benar di luar kehendak kita dan ya, andai sudah dikatakan diluar kehendak pastinya perkara itu kurang menyenangkan kita, malah dengan tidak semena-mena kita akan mula melenting tanpa usul periksa sehinggakan tindakan yang tidak relevan akan dilakukan.

Kita bertindak melulu dan membabi buta.

Tuhan Maha Kuasa dan Tuhan itu Maha Mengetahui. Semua yang sudah, sedang dan bakal terjadi sudah ditulis oleh-Nya. Semua segala sudah dibentuk, didraf kemudian dikarang malah direalitikan dalam hidup kita setiap hari. Malahan, realiti ini tadi digarap dengan hikmah yang kita sebagai hamba-Nya sukar untuk jangkakan sehinggalah hikmah itu terpampang terang di depan mata kita.

Andai kita lebih bijak dan lebih memerhati. Kita pasti akan bisa jangka dan tahu apa hikmah di sebalik semua segala yang telah terjadi.

Tuhan Maha Menguji dan Tuhan itu Maha Mengampuni. Tuhan datangkan kita sebagai sesempurna ciptaan yakni kita ini dikurniakan dengan sepasang nafsu dan akal. Keduanya perlu dan saling memerlukan. Nafsu ini  memerlukan akal dan akal juga memerlukan nafsu. Nafsu ini ada baik dan ada buruknya. Bagaimana kita mahu tahu di mana baik dan buruknya? Iaitu dengan cara mengawalnya. Sebarang kehendakan kita untuk melakukan sebarang perkara adalah nafsu dan bergantung pada diri kita pula untuk mengawal segalanya. Dan nafsu ini tadi perlu dikawal dengan akal. Akal ini yang akan membimbing kita.

Akal juga yang akan bawa kita pada sesuatu yang betul dan benar. Bukan nafsu. Nafsu itu anugerah dari Dia. Bonus untuk kita sebagai hamba-Nya yang paling sempurna.

Manusia, adalah sesempurna kejadian Tuhan. Tapi harus kita ingat, kita ini tidaklah sesempurna yang kita jangka. Kerna kita juga ada satu sifat lain dimana, kita ini tidak maksum. Kita pasti akan melakukan kesalahan juga kesilapan. Sampaikan kesalahan yang telah dibuat itu tadi benar-benar sesalkan kita. Kita murung, kita menyendiri dan kita lari dari dunia. Di masa ini lah, masa kita paling dekat dengan Dia. Dan di masa ini lah, kita paling perlukan Dia. Dan andai ada silapnya kita, jangan dirisaukan, kerna Tuhan Maha Mengampuni.

Oleh sebab itu juga lah, Tuhan datangkan dugaan pada kita dan andai kita berjaya lepasinya, Tuhan datangkan kita dengan rasa gembira. Tapi andai gagalnya kita, Tuhan datangkan masa murung untuk kita. Masa murung yang akan bawa kita dekat dengan-Nya. Ini juga anugerah dari-Nya. Terpulang pada kita sebagai hamba-Nya pula untuk lepasi fasa murung itu bagaimana.

Dan ingin patik tekankan disini, bahawasanya kita selalu tersalah tafsir bahawasanya gagal itu adalah hentian untuk kita berusaha. Tidak sama sekali. Kerna ada bait-bait yang bisa kita jadikan batu dan tiang dasar untuk bangun kembali, dimana:

"Gagal itu juga satu pencapaian, bukan untuk kita sesalkan" - Tun Boja Bistara.

Tiada ulasan: