Rabu, 21 Mac 2012

Jatuh cinta

Seolahnya,

Aku ketika itu di dalam suatu ruang bilik yang tidak terlalu besar, tidak terlalu kecil. Muatan penuhnya mungkin sekitar 10 orang hendaknya. Tapi ketikanya itu, rasa-rasanya ada lima, atau enam, atau entah. Bilang tubuh yang ada tidak mampu membikin aku mengalih pandang dari titik fokus aku di depan, pada penggesek biola.

Seolahnya,

Bilik itu cuma berterangkan sayup neon barangkali, di pancar dari belakang si penggesek biolanya. Andai diperhati dari depan, akan ada seolah-olah kabus-kabus debu yang mungkin disebabkan oleh keadaan ruang bilik yang agak berhabuk. Dan setiap partikel debu akan terbang ke kiri ke kanan mengikut alun tangan tika dia menggesek biolanya.

Sesungguhnya,

Dari gesekan pertama tadi, sudah aku pejam mata. Aku dengar dari setiap pertukaran notnya, setiap plot melodi yang dialunnya, setiap semuanya. Aku teliti satu persatu. Dan seolah lagunya itu sedang bercerita, berpenglipurlara tentang sesuatu berkaitan kita, manusia.

Sesungguhnya,

Ini bukan yang dikhabarkan sebagai di awangan, bukan, ini bukan di awangan. Ini sepertinya kau dibawa berjalan bersama-samanya dan kau tak menolak walau sekelumit pun. Kau turutkan sahaja. Dia bawa kau merasa bersama.

Dan sesungguhnya,

Saat dan tikanya ini, aku bukan aku yang biasa. Kali ini aku tenang. Aku bisa rasa cuma dari cara aku sedut dan hembus nafasku. Dan entah, susunan nafas aku kali ini betul-betul sama dengan setiap gesekannya. Betul-betul. Dan itu ajaibnya. Gesekannya seperti menghantui setiap gerak geri anatomi tubuh aku.

Dari susunan nafasku,
dari pejaman mataku,
dari degup jantungku,
dari jiwa yang seolah sedang berjalan bersamanya entah kemana,
dari fokus hati aku yang aku paksikan pada setiap gesekan darinya.

Sumpah,
Sekarang aku jatuh cinta pada gesek biola.





"kalian boleh cuba duduk bersama Olafur Arnalds di jam begini, biar dia bawa anda bersamanya. kemana? itu tanya jiwa anda. dia tahu jawapannya"