Selasa, 27 Mac 2012

Bisu

Aku bangun awal lagi hari ini. Aku pandang katil sebelah, kosong. Teman sebilik entah ke mana. Terang dari luar bangunkan aku lagi sekali, awal begini. Aku bingkas ke jendela. Ketiga-tiganya diselak. Serta merta aku ditampar segar si embun, dan dari kejauhan di ufuk timur mentari terbit senyum-senyum.

Aku ke dapur. Siapkan segelas kopi panas untuk mulakan hari aku. Aku mahu senyum sama seperti mentari yang aku nampak tadi. Itu materiku setiap hari, mahu bermula dengan senyum, dan diakhirkan dengan senyum juga. Bagiku tiada guna aku membuang masa dengan sedih, itu semua sekadar membazir nyawa.

Seperti selalunya, berpagian bersama kopi secawan adalah satu rutin harianku sebagai pelajar tahun akhir disini. Di Tronoh, salah satu daerah terpencil di negeri Perak. Mulanya dulu, pembangunan masih di tahap bawahan atau bahasa kasarnya mundur. Tapi semenjak entah bila, aku kurang pasti. Pembangunan semakin mapan. Hampir segalanya ada.

Kau bilang saja mahunya apa. Semua segala. Ada.

Kampusku hari ini seperti kebiasaannya juga, tampak tenang seawal-awal begini. Rasanya semua masih berselubung gebar, kesejukan. Mana tidaknya, rasaku semalam hujan. Bermimpi indah yang nakal atau bermimpi basah adalah sesuatu yang paling orgasmik bagi setiap homosapien seperti aku andai terperangkap dalam kontinuum cuaca, ruang dan masa sebegini. Sejuk dan nyaman. Lagi-lagi bila diselirat resah perihal sejuta macam kerja. Orang kata, seks adalah ubat stress yang mujarab. Entah ya entah tidak. Orang katalah.

Kau jangan pandai-pandai cuba pula. Ini orang kata. Bukan semua boleh percaya.

Aku duduk tepi jendela, rokok yang terselit di jemari kadang-kadang aku kucupkan di bibir diselang kopi pekat berasap dalam cawan. Pagi itu bibir aku dirogol asap nikotin juga cecair kafein. Dua jenis dadah ringan rasaku. Dadah ringan yang bisa bikin adiktif untuk konsumer tegar dua objek tersebut.

Dan aku mungkin salah seorang dari mangsanya. Lagi-lagi sudah memang azalinya aku seorang manusia tabiat. Setiap kali bangun pagi, kopi dan rokok adalah perkara pertama yang aku cari. Setiap hari. Tak pernah terlepas walau sekali.

Pintu bilik terselak. Teman sebilikku sudah balik. Agaknya pergi sarapan di luar kampus. "Awal bangun?", tegur teman sebilikku. Aku agak ujarnya begitu andai dinilai dari gerak bibirnya. Aku cuma balas dengan senyum.

Aku tak dengar apa yang dituturnya dan yang pastinya aku tak mampu bercakap pun. Aku cacat salah satu pancaindera. Jadi aku balas dengan bahasa tangan.

"Selamat pagi orang normal", aku selang dengan senyum lagi.

Tiada ulasan: