Jumaat, 16 Mac 2012

Bila ibu berbual perihal rejeki.

Urat di kepala kian menegang, tulang belakang mulai lenguh, muka berminyak, badan pula melekit. Mungkin ini bahananya 8jam tanpa lekang bermastautin di meja kerja. Jam di tangan kanannya sudah mencecah angka 4.55 pagi dan seharusnya sebagai seorang manusia normal, waktu begini sebenarnya adalah waktu untuk tidur. Tidur berdengkur dan melena di ranjang. Tak perlu mimpi indah pun tak mengapa. Janji bisa rehatkan minda, juga redakan perit tegang urat di kepala.

Kertas-kertas sudah bersepahan di atas meja dan ashtray kian penuh. Puntung-puntung hampir termuntah dari bekasnya. Andai dilukiskan graf bilangan batang rokok melawan waktu kerja, sudah pastinya graf yang terbentuk adalah sangat lurus, bezanya untuk graf hari ini dan hari-hari lain adalah kecuraman garisnya. Bergantung pada tahap ke'stress'an hari itu. Atau bergantung pada ke"tak-fokus"an pada barang-barang kerja.
Atau bergantung pada bilangan kerja yang perlu di siapkan. Atau bergantung pada kerumitan kerja yang sedang dan perlu disiapkan. Argh, pembolehubahnya terlalu banyak. Yang Boja tahu, semuanya berkesudahan sama. Semua segalanya memeningkan kepala.

"Hari-hari pun stress mak, duit dah makin kurang ni, hari-hari makan telur dengan roti jer", salah satu ayat yang pernah diluah dengan nada mengadu pada ibunya suatu hari lepas. Ibu Boja balas mudah dan padat, "Susah dulu senang kemudian nak, telur pun telur lah, rejeki jugak". Boja cuma gelak bila dengar perkataan rejeki. Katanya dalam hati, itu lucu. Geli hati.

Rejeki. Rejeki. Rejeki.

Sudah menjadi kebiasaan bagi Boja bilamana ada saja masalah kunjung tiba atau ada apa-apa yang merunsingkan di hari-harinya, nombor ibu di telefon bimbit akan didail, atau andai tahap miskinnya hari itu tahap kedana, akan dismskan sahaja. Begini contohnya "Bu, call kejap". Selang seminit, ibunya akan muncul sebagai seorang adiwira berkuasa "ketenangan" dan secara otomatisnya, gusar jiwa akan reda. Tenangnya berkala terus. Sungguh, ini benar. Tiada suara lain yang lebih menenangkan selain dari suara ibu sendiri.

Suara kekasih? Suara kekasih lain. Tak pernah sama dengan suara ibu. Tak akan sama dengan suara ibu. Kekasih selalunya bersulam nafsu, dan selalunya dengan niat bermanja dan selalunya tak akan lekang perkataan rindu diucap 10juta kali. Walau dikira-kira, dicongak-congak guna rumus apa sekali pun, kemanjaan dengan ibu juga kemanjaan dengan kekasih adalah berbeza sama sekali. Tak akan sama walau kita sayang kedua-duanya.

Kekasih dan ibu adalah dua entiti berbeza. Tapi andai masih punya keduanya. Hargai sehabis nyawa, seluruh jiwa, seantero raga. Jangan diabai walau sesaat cuma. Itu amanah dari Tuhan untuk kita sebagai hamba-Nya. Dalam perkataan lainya, ia adalah ujian dari ALLAH S.W.T berkenaan subjek TANGGUNGJAWAP kepada kita.

ALLAH Maha Mengajar dan ALLAH Maha Besar. Kekasih dan ibu? Itu adalah rejeki dalam dua pakej berbeza.

Renung, tenung, dan lamun Boja dari tadi sesambil jemari ligat bermain permainan poker di komputer ribanya. Boja tersentak. Telefon bimbitnya bergetar.

Baru saja dibualkan perihal kekasih. Satu sms dari si dia diterima. Kata Boja "Panjang sangat umur kau ni". Boja senyum. Hilang runsing sebentar.

Isinya? Rahsia. Tak kan semua nak bagitau.

Boja kan misteri.

4 ulasan:

mr_abs berkata...

nang makan dalam eh kitak

Tun Boja Bistara berkata...

aku makan telo jak hari-hari za.

Tanpa Nama berkata...

realiti? imaginasi?

Tun Boja Bistara berkata...

terpulang. :)