Boja tulis pada sehelai kertas kosong. Boja lipat dan bentuk origami sampan. Boja hanyutkan. Berlepas tak berkemudi, berlayar tak bernakhoda, kemudian karam dek cuma kertas yang jadi tekstur pengukuh isipadu origami. Tenggelam di dasar kolam.
"bukan segala belasungkawa kesannya celaka. Begitu juga sebaliknya. Cuma caranya yang perlu ditimbang-tara, juga interpretasinya bagaimana."-hati yang sedang berehat separuh masa pertama.
"ini rasanya yang ditulis tadi. kot?." monolog Boja sambil baling baja ikan. Di Sarawak makanan ikan ini dipanggil baja ikan, mungkin di Shah Alam juga begitu. Kata 1 Malaysia.
Hari makin senja. Rata-rata warga bumi yang beriadah di tasik Shah Alam hari ini sudah beransur pulang semula ke rumah masing-masing. Bergegas mandi membuang hamis peluh yang dirembes. Yang tinggal cuma Boja, kura-kura tasik dan beberapa mat-mat rempit. Mungkin sedang leka bergebang kehebatan motosikal masing-masing. Boja akui. Salah seorang mat rempit itu hebat. Motornya cuma kapcai. Nilai estetika objek-objek vintaj ini rupa-rupanya masih lagi diguna-pakai anak muda generasi Y.
Boja endahkan. Dengan sedikit culas, dilabuhkan tubuh atas rumput, pandang ke langit. Terpampang senja nan merah tergarap sedikit jingga. Ada beburung terbang bebas. Mungkin pipit atau mungkin layang-layang. Entah. Boja malas ambil tahu. Sedari tadi fokus fikiran cuma satu. Mahu segala akan berimpak positif. Segala akan baik-baik saja.
Dengan berbantalkan lengan dan bertilamkan rumput hijau padang, segala perkara lalu satu-satu terlintas. Gembira, sedih, marah, kecewa, geram, benci, cinta, sayang, asmara, dosa, pahala, satu-satu datang bertandang seolah ada satu diskusi meja bulat dalam kotak fikir. Dan di setiap satunya Boja boleh rasa ada sejenis rindu. Kerinduan yang tak diketahui asas dan basisnya siapa atau apa. Dimana atau gimana.
Atmosfera tasik senyap. Sekeliling tenang. Trafik sedikit lengang. Ada kicau beburung mencari tempat tidur atas kabel wayar bergantungan. Juga sedikit kocak ikan dalam tasik. Mungkin atas sebab bosan gerombolan ikan tadi pengen mengajak Boja berbual. Dengan cara tersendiri. Kocak air. Sejenis metodologi untuk komunikasi. Antara Boja, ikan dan permukaan air sebagai medium.
Boja dikejutkan dengan satu laungan. Terduduk. Tersentak. Azan dari masjid negeri berkumandang. Tanda sudah sampai masanya segenap umat manusia tegakkan tiang agama.
Tak semena-mena mata Boja basah. Rindu damai. Rindu tenang. Rindu sejuknya wuduk. Rindu belaian tikar sejadah.
Maghrib hari itu seolah-olah sedarkan Boja dari kelekaan. Hidup mungkin simpang-siur. Tapi titik fokusnya cuma satu. Destinasinya cuma satu. Berlandaskan undang-undang dan metodologi tertentu. Untuk gapai hipotesis dan inferens yang juga tertentu. Yang sudah ditulis. Termaktud oleh Dia.
Maha Esa. Linangan melimpah bak air bah.
4 ulasan:
naseb bek tak banjir hehehe ;P
:) kan? hehe
kalau banjir cutilah org2 shah alam..hehe.tp adakalanya titis air mata itu memberi kelegaan pd aku. heee..boja rasa?
betul. memang akan melegakan. :)
Catat Ulasan