Selasa, 27 Disember 2011

seorang marhaen dan kota yang gagal

seperti hari-hari biasanya, aku akan berulang-alik dari rumah sewaku ke sini, kota lumpur, salah satu zon radiasi sosial yang paling aktif sekali pernah aku jumpai. bagi aku, kota ini adalah kota gagal. walaupun aku bukan pemerhati politik atau struktur bandar tetapi berdasarkan pemerhatian mata-kasar aku sebagai jejaka marhaen berstatus wargakota, aku nampak sebenarnya ada sesuatu yang tak kena di sini. manakan tidak, sejak dari kecil lagi aku sudah dihidangkan dengan wiski-wiski politik dan ganja-ganja masalah kota di luar sana. mungkin itu sebabnya aku elak seawal dunia remaja aku dulu dari segala macam dadah. aku sudah bosan dengan dadah begini dan aku tak mahu jadi opiumis.

media massa yang bertapak di kota-lumpur ini sudah lama beroperasi menyumbat otak aku yang diselindungkan oleh rangka kramium dengan segala macam perkara dan selalunya berpaksikan pada sesuatu yang aku tak perlu tahu pada usia awalku dulu. dan kalau ikut logiknya anatomi badan manusia, semua yang tersumbat sudah lama tertumpah atau aku ini sendiri termuntah. malangnya, aku tidak. dan hasilnya; aku keracunan atas sistem itu sendiri.

langkah aku dari tangga bas seperti selalunya longlai dan bermalasan itu aku kerahkan semata-mata atas dasar sebab untuk hidup. atau secara spesifiknya, wang atau duit. kenapa perlu aku cari duit? aku benci orang pertama yang bina sistem wang dulu, dan nasib baik aku tak kenal beliau dan aku tak nak tahu nama beliau. aku takut setiap orang yang punya nama seperti itu akan aku belasah cukup-cukup sebab susahkan aku hidup aku yang sememangnya bergelora dan penuh dengan pergolakan sosial, status dan taraf hidup ini.

aku berhenti sebentar di 7e. aku sedikit terhidrat dek teriknya mentari tengahari itu. aku teguk sedikit air mineral yang baru aku beli sambil memerhati susuk-susuk tubuh korporat yang lalu depan aku. walau segak berkolar dan bertali-leher, aku tahu setiapnya masing-masing selekeh dalam konteks peribadi. generasi Y macam kita bukan boleh percaya. bagi aku dunia zaman sekarang bukan lagi berasaskan realiti, atau paling tepat setiap apa yang ada dalam konteks abad 20-an ini, nampak saja benar atau wujud tapi tanpa kita sedari, semuanya merindukan fakta. setiap mereka yang ada paling tidak pun pasti akan punya rembesan calitan sifat-sifat palat, contohnya kiasu.

aku teruskan berjalan sampai langkah kaki aku, aku hentikan betul-betul di sebelah seorang lelaki tua; umurnya 40-an kira-kiraku dalam hati. dia tersenyum sambil menghulurkan kotak rokok 'djarum' miliknya. aku tolak, tapi bukan sebab aku bukan seorang perokok atau tak beradab tapi aku punya rokok yang sama. lantas aku balas dengan senyuman dan keluarkan kotak rokok aku pula. ya, apa yang kami gemar sama, kepulan asap dari kretek indonesia. dan aku juga rasa dia punya hobi yang sama seperti aku; memerhati mayat-hidup-kota dari celahan kelopak mata.

'setiap yang sedang berjalan di depan kau sekarang ni, sebenarnya adalah katalis kerajaan, dan mereka bukan hanyut, tapi terpaksa jadi keldai tunggangan. setiap kesempatan yang ada dalam ruang hidup mereka masing-masing sudah dicuri. malah mungkin lagi teruk; dirogol' sambil asap yang terkumpul dalam rongga esofogusnya dihembus jadi kepul-kepul seolah-olah awan.

aku balas dengan senyuman, dan pak cik itu tadi turut sama tersenyum.

kalaulah aku boleh bercakap, mungkin aku akan jawap begini dan bertanya, 'betul, tapi andaikata sesebuah kota itu gagal, adakah wargakota yang terhasil juga gagal?"

tapi aku abaikan atas sebab azalinya aku memang dilahirkan bisu. di situ, di kubikel kecil di celah bangunan tinggi itu aku membuang masa bersama pak cik anonimus sambil membisu. dan memerhati.

dan aku tak pasti, adakah pak cik anonimus berfikir sama seperti apa yang aku sedang fikir sekarang. "adakah kami salah satu produk dari sebuah kota yang gagal?"

4 ulasan:

ENCIK TIKUS berkata...

gua stay shah alam.. so nak kata gua ni produk yang gagal ke boja ? gua kompius.. arghh

Tun Boja Bistara berkata...

aku sendiri pun tak pasti, dan aku pun masih tak tahu aku ni adalah produk gagal atau x.

tiangyangberkata berkata...

jika kau tak selitkan nilai agama maka kau gagal...itu saja yang dapat dijadikan panduan...

Tun Boja Bistara berkata...

kalau begitu, maknanya aku masih gagal. :(