Dalam bas, Boja peluk beg galasnya. Dengan hati. Dengan hati-hati.
********
Boja turun dari bas. Jarum jam tepat 11.07 pagi. Boja pandang ke langit. Matanya menyepet dek bahang terik matahari. Boja sandang beg galas yang dipeluk tadi. Sekeliling diperhatikan, barangkali Haikal yang ingin ditemuinya sebentar lagi menunjukkan kelibatnya. Malang sekali, yang ada cuma ramai, cuma pusu-pusu, cuma anonimous, cuma strangers.
Sejak dari zaman ijazah Boja dulu, lapangan terbang Air Asia memang begini. Bau asap kenderaan menyelingkari segenap-seluruh lapangan terbang. Orang ramai berpusu. Pelancong. Penyeluk saku. Semuanya ada. Tergaul lagi dengan bising dan sesak, perasaan rimas pasti ada. Tapi apakan daya, sudah namanya penerbangan tambang murah, servisnya juga pasti berbaloi dengan harganya.
Boja berjalan laju ke arah tempat yang sedikit teduh, berbumbung.
Bahang terik matahari galak merembes peluh Boja ke tahap paling maksimum. Boja kuyup dek peluh. Singlet putih bertulis "Unplugged" yang dipakainya lencun. Boja abaikan. Boja terus berjalan. Mata masih galak pandang sekeliling. Masih, tercari batang hidung Haikal.
Boja duduk di salah satu kerusi kosong di luar balai ketibaan.
Sebatang Pall Mall merah dikeluarkan. Pall Mall merah dinyala. Pall Mall merah dikucup ke bibir. Asap Pall Mall merah disedut. Asap Pall Mall merah dihembus. Asap Pall Mall merah di-french inhale. Pall Mall merah disepit diantara jari tengah, jari telunjuk. Aktiviti bersama Pall Mall merah berlarutan untuk beberapa minit tapi masih, Haikal belum kelihatan.
Telefon bimbit Boja keluarkan. Satu sms dihantar. Selang beberapa saat, telefon bimbit bergetar. Satu sms masuk tertulis, "Aku otw-Haikal". "Babi kau otw cepat sikit panas ni", Boja balas. Boja dan Pall Mall merah bergelut bibir ke bibir sekali lagi.
Beg galas yang disandang tadi, Boja peluk erat. Boja peluk rapat. Boja peluk lengkap, dengan hati yang berhati-hati bersama Pall Mall yang masih nakal menggomol bibir Boja.
********
"Oi! kejap, kejap", jerit Haikal dengan cover-all merah bodohnya dari balik pagar landasan kapal terbang. Menurut kata Dia, Haikal salah seorang jurutera di situ, jurutera kapal terbang. Entah, abaikan. Biaq pi dia. Itu bukan hal yang perlu Boja ambil kira, apa lagi ambil tahu.
Haikal muncul. Berkulit hitam dan berperut buncit. Boja perhatikan dari atas sampai ke bawah. Boja kagum. Kata Boja, ini rupanya Haikal yang diura-urakan selama ini. Bibir terselit Pall Mall merah tadi tersenyum. "Aku ingatkan kau hensem lagi dari aku", getus Boja dalam hati.
Boja hulurkan tangannya sebagai tanda hormat, Boja jabat tangan. "Namaku Boja, maaf andai patik mengganggu masa kerjanya", sekali lagi Boja senyum. Haikal juga senyum. "Patik tidak lama, cuma mahu serahkan satu benda dan sampai kan satu perkara", kata Boja lagi.
"Oh, apa bendanya dan apa perkaranya?", kata Haikal. Boja hulur beg galas yang dipeluknya sedari tadi kepada Haikal. Haikal terkejut lalu bertanya, "Apa ni?".
Boja senyum.
Bersama Pall Mall merah di bibir, kedua tangan dalam saku seluar pendek jeans dipotong sendiri, kasut kanvas coklat dan rambut botak. Boja berlalu. Boja pandang belakang, berselang seli dengan asap Pall Mall dari bibir, berkata,
"Ambik lah, dalam tu ada hati Dia, simpan elok, jaga rapi dan peluklah setiap hari".
Boja tabik tangan kiri.
2 ulasan:
Boja cool sangat dalam ni. Patik cair.
mungkin salah satunya.
Catat Ulasan