Selasa, 3 April 2012

Busker 1

Perjalanannya agak jauh. Waima jauh, masih tetap saujana mata memandang. Ada petak-petak sawah, lembu-lembu, lorong jalan tak bertar, lorong jalan sepatutnya sehala tapi didua-halakan, pakcik penunggang tak berhelmet. Aku dapat rasa tenang dan seronok dengan keputusanku untuk datang ke sini sebab perkampungan adalah tempat pasca celaka yang paling enak dan sedap, andaikata ketenangan itu sama macam makanan, contohnya burger. Dari dalam bas sudah aku bisa bayangkan rasa sejuk gemalainya tiup angin yang akan membelai pipi aku sebentar lagi.

Atau mungkin gadis-gadis kampung yang berkain batik datang menegur dan berbual dengan aku. Boleh aku jadikan koleksi wajah-wajah untuk imaginasi nakal aku di masa senggang nanti.

Rasaku, stesen bas di situ cuma biasa-biasa saja. Barangkali sejuta kali lebih tenang dari stesen Puduraya yang terletak dalam sebuah kota lumpur yang penuh sesak dengan manusia. Dari kejauhan aku nampak kekosongan tapaknya. Cuma ada dua bangku panjang, saling berdepan dan di tengahnya parkir untuk bas mengambil penumpang. Senibina stesen bas itu mengenangkan aku pada kampung halaman. Kosong dan tenang. Aku tak tahu kenapa aku begitu suka sekeliling yang kosong. Mungkin kosong bagi aku adalah ketenangan, ketenangan yang damai.

Tapi bila difikir-fikir, aku perlu juga keluarga dan kawan-kawan. Bak kata Wani Ardy, seorang penulis independen yang aku sangat hormati, (google: Wani Ardy) "Kawan-kawan memang tak sama macam keluarga, tapi kalau tak ada kawan-kawan kebarangkalian untuk aku ranap adalah tinggi." Ada benarnya kata dia, kita perlu kawan-kawan, sebab kawan-kawan itu unsur jiwa.

Menungan aku tersentak saat bas berhenti secara tiba-tiba. Mungkin sudah sampai destinasinya bisikku dalam hati. "Dik, dah sampai", kata drebar bas dan aku balas senyum dan jawapku dengan ucapan paling tipikal dan paling sopan iaitu terima kasih. Aku mula langkah turun dari bas.

Saat jejak saja kaki aku dari tangga bas, aku sudah mula bisa rasa semaraknya rasa seronok dalam dada. Entah apa yang diseronokkan aku pun tak tahu. Mungkin keseronokan yang bakal aku rasakan bentar lagi yakni ada gadis bakal datang menegur dan berbual bersama. Sehinggakan aku boleh rasa semacam ada rama-rama dalam perut sedang terbang.

Bas berlalu pergi. Cuma aku seorang yang berhenti singgah di sini. Beg sandang aku letakkan di atas bangku. Beg gitar pula aku sandarkan di tepi bangku pula. Menghadap bangku di seberang sana. Perkampungan ini aku pilih secara random si stesen bas besar tadi, Sibu salah sebuah bahagian terbesar di Sarawak. Stesen bas Sibu juga tak kurang harmoninya, kosong, tenang dan damai.

Rokok aku keluarkan. Jenama "Rave". Aku bakar dan hembus. Nikmat empat jam yang aku tahan sepanjang perjalanan sudah bisa aku rasa sekarang. Nikmat macam saat pertama kau capai orgasmik. Begitulah, ini perkara biasa untuk perokok tegar seperti aku.

Nikmat adalah sesuatu yang bersifat alami, yang bukan fizikal, bukan juga emosi. Tapi sesuatu yang hanya kau tahu tahapnya bagaimana. Dan sekarang, nikmatnya tahap begini. Ya, begini. Tahap ini (bayangkan tangan aku mendepa panjang). Kau tak akan bisa ceritakan bagaimana nikmat yang akan kau rasa itu. Contohnya, selalu diperihalkan pada kita, digembar-gemburkan bagaimana nikmatnya syurga di akhirat nanti. Tapi aku sejuta peratus pasti, bukan semua dapat bayangkan nikmat syurga itu nanti bagaimana. Mungkin atas sebab ini aku jarang datang ceramah agama, sebab aku kurang yakin dengan cara penyampaian mereka. Ini membosankan, walaupun aku tahu ini penting dan adalah salah satu tanggungjawap aku sebagai hamba-Nya untuk hadir ke majlis ilmu.

Daripada buat dosa membebel bosan dengan majlis, elok duduk rumah. Dalam Youtube kau boleh cari Dr. Fadzillah Kamsah. Cara penyampaiannya sangat menyeronokkan bukan?

Tapi jangan pelik andai aku hadir apa-apa aktiviti agama, itu tandanya aku suka si penceramahnya. Pandai main kata, dan selalunya dalam nasihat-nasihatnya akan diperencahkan sedikit dengan humor. Lumrah manusia suka pada sesuatu yang kelakar sama macam aku juga. Dan lagi seronok, jika si penceramahnya suka guna teknik analogi. Aku suka analogi. Bila ada analogi, aku boleh jana mindaku untuk berimaginasi.

Setengah jam berlalu. Jam di tangan susah cecah angka empat setengah dan aku belum makan tengahari lagi. Dari tadi aku tunggu barangkali ada sesiapa yang lalu lalang, boleh juga aku bertanya di mana restoran terdekat. Tapi yang peliknya, kenapa tiada manusia yang lalu lalang?

Terus dalam kepalaku, teringat filem "Zombieland". Celaka.

Tiada ulasan: